Header Ads

kertas kerja seminar Universiti Malaya



PUSAT KAJIAN ORIENTALISM: ANALISIS TERHADAP SIKAP UMAT ISLAM


Prof Madya Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti ,Prof Madya Dr Rahimin Affandi Abd Rahim & Prof Madya Dr Ruzman Mohd Nor

Dewasa ini, dengan kedatangan era globalisasi, kita dapat menyaksikan bagaimana peta pusat pengajian ilmu-ilmu Islam dunia telah terbahagi kepada tiga lokasi yang utama; dunia Barat yang berteraskan kaedah ala orientalisme; dunia Islam Timur Tengah yang lebih menumpukan kepada kerangka pengajian tradisionalisme dan dunia Alam Melayu (Malaysia dan Indonesia) yang dilihat telah mengadunkan di antara kerangka tradisionalisme dan reformisme sekaligus. Walaupun pusat kajian Islam Alam Melayu telah menjadi begitu penting, tetapi ianya masih belum mampu menandingi pusat kajian orientalis. Hal ini terjadi antara lainnya disebabkan oleh nisbah reputasi cemerlang yang dimiliki oleh pusat kajian orientalis itu sendiri, ditambah pula dengan faktor dunia barat yang mendominasi pelbagai sektor strategik kehidupan dunia moden, termasuklah penguasaan ilmu pengetahuan, S&T dan ekonomi.

Keperluan Takhrij Hadith Dalam Kitab-Kitab Jawi Nusantara: Analisis Hadith-Hadith Yang Tidak Diketahui Martabatnya Dalam Kitab Hidayah al-Salikin

Dr. Khadher Ahmad , Prof. Madya Dr. Ishak Haji Suliaman

Keperluan kajian terhadap kitab-kitab Jawi di Nusantara tidak perlu dipertikaikan lagi. Salah satu bentuk kajian yang dilakukan adalah usaha mentakhrij hadith-hadith di dalam kitab-kitab tersebut walaupun ia bukan daripada karya hadith. Kertas kerja ini cuba untuk mengetengahkan satu usaha takhrij hadith yang telah dilakukan terhadap sebuah karya tasawuf iaitu Hidayah al-Salikin fi Maslak al-Muttaqin karya Sheikh 'Abd al-Samad al-Falimbani. Kitab Hidayah al-Salikin mengandungi 183 buah hadith dengan pelbagai martabat sama ada sahih, da'if, da'if jiddan, mawdu' sehingga kepada hadith (kenyataan) yang tidak diketahui martabatnya tetapi dianggap sebagai hadith. Kepelbagaian taraf atau martabat tersebut, dengan tiada sebarang takhrij dinyatakan bagi hadith-hadith pada kitab asalnya, mendorong untuk kajian dijalankan. Namun, kertas kerja ini tidak akan memaparkan keseluruhan hadith-hadith di dalam karya tersebut kecuali tumpuan dan analisis terhadap hadith-hadith yang tidak diketahui martabatnya sahaja atau boleh dianggap sebagai kenyataan yang dilabelkan sebagai hadith.

Khazanah Tafsir Di Nusantara : Penelitian Terhadap Tokoh-Tokoh Dan Karya-Karya Tafsir, Di Malaysia, Singapura, Thailand Dan Brunei Darul Salam

Profesor Madya Dr. Mustaffa bin Haji Abdullah

Alam Nusantara adalah satu kawasan yang sebenarnya kaya dengan peradaban dan khazanah ilmu yang ditinggalkan oleh para ulama silam. Walau bagaimanapun khazanah itu seakan dipandang sepi oleh masyarakat dan pengkaji tempatan. Ruang yang tersedia ada ini banyak dimanfaat oleh pengkaji barat seperti William Roff, A.K. Broki, Peter Riddell dan sarjana barat lain yang menjalankan pelbagai kajian bagi menjejaki khazanah-khazanah ulama Nusantara. Justeru kertas ini akan cuba menelusuri dan mendedahkan tokoh-tokoh dan hasil-hasil karya tafsir yang dihasilkan oleh ulama tafsir di Malaysia, Thailand, Singapura dan Brunei.

ELEMEN SATANISME DALAM TREND KEPENGGUNAAN MEDIA DI KALANGAN BELIA ISLAM MALAYSIA: MENJELAJAH DIMENSI INTRA-DISIPLIN DAN INTER-DISIPLIN DALAM PENYELIDIKAN

Profesor Madya Dr. Che Zarrina TG Hj Mohd Sa’ari, Profesor Dr. Joni Tamkin Haji Borhan, Profesor Madya Dr. Khadijah Mohd. Khambali @ Hambali, Lihanna Borhan, Noor Hasnoor Mohamad Nor, Dr. Syed Mohammad Hilmi Syed Abdul Rahman, Dr. Faizuri Abdul Latif, Muhammed Yusof, Hazman Hassan & Dr. Basri Hussin

Penyelidikan ini menelusuri pendekatan intra-disiplin serta inter-disiplin ke atas unsur-unsur satanisme dalam trend kepenggunaan media oleh belia-beliawanis Muslim di Malaysia. Mengaplikasikan aspek kualitatif kajian teks serta aspek kuantitatif kajian lapangan terhadap enam ratus responden terpilih sekitar Lembah Kelang, penyelidikan cuba menterjemahkan nas-nas akidah berhubung syaitan untuk mengukur persepsi dan realiti dalam trend kepenggunaan media oleh belia dalam zaman pasca-moden ini. Sehubungan dengan itu, landasan teori dan analisis dapatan kajian lapangan digarap dalam dimensi intra-disiplin Pengajian Islam yang melibatkan Akidah, Kajian Ajaran Salah, Perbandingan Agama, Seni Islam dan Ekonomi Islam. Pemantapan turut dilaksanakan dalam dimensi intra-disiplin apabila perspektif disiplin selain Pengajian Islam iaitu Psikologi Belia dan Pengajian Melayu dimanfaatkan untuk menangani kompleksiti fenomena ini.

ANALISIS HADITH AL-BUYU‘ DALAM PERSPEKTIF FIQH AL-SHAFI‘I DAN FIQH AL-BUKHARI: TUMPUAN KEPADA TOPIK AL-KHIYAR

Profesor Madya Dr. Ishak bin Suliaman, Dr. Mohd Murshidi Bin Mohd Noor, Dr. Mohd Khairul Nizam bin Zainan Nazri,Mohd Ashrof Zaki bin Yaakob

Kedua-dua tokoh yang ingin penulis kaji merupakan tokoh yang tidak asing lagi di kalangan masyarakat Islam khususnya di Malaysia. Kedua-dua tokoh ini merupakan pelopor kepada pengkajian terhadap ilmu hadith dari sudut al-riwayah dan al-dirayah. Perbezaan antara kedua-dua tokoh ini adalah dilihat dari sudut sumbangan yang telah diberikan oleh mereka dalam pengajian hadith. Imam al-Shafi‘i terkenal di kalangan umat Islam sebagai imam dalam permasalahan feqah sehinggakan daripada idea-idea yang dikemukakan oleh beliau telah melahirkan mazhab feqah dan ia dianut oleh kebanyakan umat Islam sehingga kini. Imam al-Bukhari pula terkenal di kalangan umat Islam sebagai imam di dalam bidang hadith sehinggakan kitab hadith beliau iaitu Sahih al-Bukhari diiktiraf oleh umat Islam sebagai kitab yang sahih selepas al-Quran.Dari sudut persamaan, kedua-dua tokoh ini telah memberikan satu panduan yang amat berguna kepada umat Islam untuk memahami hadith-hadith Nabi s.a.w. seterusnya mengistinbatkan hukum daripadanya. Disebabkan Imam al-Bukhari memiliki banyak hadith sahih di sisinya, dengan itu istinbat hukum oleh beliau daripada hadith berlainan dengan yang dilakukan oleh imam-imam sebelumnya. Dalam mengistinbatkan hukum, beliau tidak terikat dengan pandangan mana-mana Imam mazhab kerana yang dipegang oleh beliau ialah hadith sahih. Oleh itu akan dapat dilihat ketajaman pemerhatian beliau terhadap hadith-hadith sahih yang dikumpulkan oleh beliau sehinggakan kadangkala beliau dengan beraninya mengkritik pandangan-pandangan yang agak tersasar oleh para imam mazhab. Berdasarkan situasi ini, penulis menjalankan kajian ini sebagai sampel untuk melihat perbezaan istinbat hukum oleh Imam al-Bukhari dan Imam al-Shafi‘i dalam persoalan al-khiyar dalam topik al-buyu‘ untuk melihat keintelektualan kedua-dua tokoh ini dalam menganalisis hadith-hadith yang berkaitan dengannya.

PENGAJIAN AL-QUR’AN DI NUSANTARA: SATU IMBASAN SEJARAH

Profesor Dato’ Dr Zulkifli Haji Mohd Yusoff, Haji Amin Maulana,

Kajian ini bertujuan membuat sorotan sejarah terhadap Pengajian al-Quran di Nusantara, bahan yang akan disinggung adalah menyentuh tokoh-tokoh agung yang tidak asing di rantau ini, di Indonesia seperti Abd al-Rauf al-Singkili dengan karyanya bertajuk Tarjuma al-Mustafid, Prof. Hamka dengan karyanya bertajuk Tafsir al-Azhar, Prof. Tengku Mohammad Hasbi al- Shiddieqiy dengan karyanya bertajuk Tafsir al-Qur’an al-Nur, Tuan Kyai Haji Bisyri Mustafa Rembang, dengan karyanya bertajuk Tafsir al- Ibriz. di Malaysia Tuan Haji Said Bin Omar al-Qadhi dengan karyanya bertajuk Tafsir Nur al-Ihsan, Datuk Haji Muhammad Noor Ibrahim, bekas Mufti Negeri Kelantan Darul Naim dengan karyanya bertajuk Ramuan Rapi Dari Erti Surah al-Kahfi, Syeikh Mustafa b. Abd. Rahman dari Negeri Perak dengan karyanya bertajuk Tafsir al-Quran al-Hakim, Syeikh Abdullah Basmeih dengan karyanya bertajuk Tafsir Pimpinan al-Rahman kepada Pengertian al-Quran, di Singapura al-Syeikh Ahmad Sonhadji Muhammad dengan karyanya bertajuk Tafsir abral Athir Tafsir al-Quran di radio, di Negara Brunei Darussalam Kerajaan Brunei Darussalam telah menerbitkan Kitab Tafsir al-Quran yang diberinama Tafsir Darussalam dimana tafsir ini mulai daripada siri terbitan pertama sehingga siri yang ke 135, adalah hasil usaha daripada seramai lebih 65 orang penterjemah dan pentafsir, yang terdiri daripada lelaki dan perempuan pegawai kementerian hal ehwal Ugama kerajaan Brunei Darussalam, Dr. Haji Muhammad Nur Lubis telah menterjemahkan Kitab Tafsir al-Muntakhab, sebuah kitab Tafsir yang disusun ulama – ulama al-Azhar. Di Wilayah selatan Thai iaitu Patani, Tuan Dr Ismail Lutfi al-Fatani dengan karyanya bertajuk Tafsir al-Bayan Terjemahan makna al-Quran kepada bahasa Melayu Patani. Maahad atau yang dikenali dengan istilah Pondok atau Pesantren memainkan peranan besar dalam pengembangan pengajian al-Quran di Nusantara sejak Islam mula bertapak di rantau ini setelah di bawa oleh ulama nusantara yang menuntut ilmu agama di Timur Tengah.

MAZHAB SYAFI’I DII MALAYSIA: SEJARAH, REALITI DAN PROSPEK MASA DEPAN

Prof. Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Haji Abd. Majid

Meskipun ia datang terkemudian, berbanding mazhab Syi’ah namun mazhab Syafi’i mudah diterima dan cepat tersebar di kalangan semua umat Islam di negara ini dalam kedua-dua sektor, pemerentah dan rakyat. Sebabnya munkin kerana kesederhanannya yang sesuai dengan selera bangsa Melayu yang bersikap sederhana dalam kehidupan mereka. Namun masyarakat Melayu sendiri mula berubah dari masa kesemasa, dari kehidupan yang segala-galanya sederhana kepada kehidupan yang lebih komplikated. Dalam mengalami perubahan ini mereka kadang-kadang merasakan tidak semua penyelsaian dalam fiqh mazhab Syafi’i boleh berfungsi dengan baik. Di bawah isu mordenisasi dan reformasi terdapat kalangan yang cuba mengubah haluan masyarakat kearah yang berbeza, samada berdasarkan idea barat atau idea Islam sendiri. Dalam menghadapi arus perubahan ini mazhab Syafi’i yang tersedia diamalkan dalam bentuknya yang tradisional merasai banyak kekurangan yang perlu diatasi segera. Beberapa idea kemudian telah timbul bagi memenuhi keperluan itu, di antaranya ialah kembali kepada prinsip mazhab yang asal dan merialisasikannya dalam masyarakat Malaysia secara yang lebih realistik bersandarkan analisis yang orijnal bersandarkan kepada pendekatan tempatan.

PENGARUH FIQH SHAFI`I DALAM PEMIKIRAN MASYARAKAT MELAYU DI MALAYSIA

Prof. Madya Dr. Ab. Halim El-Muhammady

Ahli sejarah ada berpendapat bahawa kedatangan Islam ke Malaysia antara abad ke 13M dan 14M. Tetapi mengikut kesan-kesan sejarah yang ditemui di Pahang, Kedah dan matawang di Kelantan menunjukkan kedatangan Islam tarikhnya lebih awal dari itu. Jika mengambil pendapat majoriti sejarah yang menyatakan kedatangan Islam antara abad 13M dan 14M, ternyata pendakwah yang datang itu telah dipengaruhi oleh mazhab tertentu, kerana sejak dari abad ke 10M, setelah perkembangan ijtihad terhenti maka Negara-negara Islam telahpun dipengaruhi oleh mazhab empat terutamanya dalam fiqh iaitu mazhab Maliki, Hanafi, Shafi’I dan Hanbali. Justeru, kemungkinan besar pendakwah yang datang ke Malaysia itu telah dipengaruhi oleh mazhab Shafi’I kerana mereka dikatakan datangnya dari Hadhramaut Yaman atau Gujerat, India yang terpengaruh dengan mazhab Shafi’i. Hasil dari pendakwah-pendakwah ini menjadikan Malaysia menerima Islam berasaskan mazhab shafi’I dalam fiqhnya sama ada dalam ibadat, muamalat, munakahat dan jenayah yang dapat dikesan dalam kanun negeri-negeri Melayu dan teks-teks pengajian fiqhnya serta amalan masyarakat. Mazhab Shafi’I telah menerima gugatan dalam sejarah melalui 3 gelombang bermula dari kes perdebatan masalah jilatan anjing pada tahun 30-an, timbulnya masalah-masalah khilafiyyah yang menggugat parti Islam Setanah Melayu dalam tahun lima puluhan. Gelombang ketiga timbulnya perdebatan masalah khilafiyyah di masa kini. Ia ditimbulkan oleh kaum muda ketika itu, dan kemudiannya oleh sebahagian pelajar-pelajar keluaran universiti Madinah, atau yang terpengaruh dengan pemikiran Wahabi, tetapi kesannya tidak mengubah pegangan masyarakat Melayu dari berpegang kepada mazhab Shafi’I di peringkat pemerintah dan peringkat awam. Persoalan khilafiyyah ini timbul kembali pada masa kini seperti bacaan ‘ussolli’ dalam solat dan talqin jenazah dan sebagainya yang merupakan ulangan peristiwa yang berlaku sebelum ini yang secara umumnya tidak menjejaskan pegangan mazhab Shafi’i. terutamanya dalam solat, perkahwinan dan amalan-amalan sunat. Cuma ada kelonggaran dalam penerimaan pendapat mazhab lain dalam muamalat di masa kebelakangan ini kerana keperluan pasaran yang banyak mentarjihkan pendapat Hanafi dan kecenderungan sebahagian generasi muda mengikut tafsiran mazhab lain dalam beberapa amalan ibadat dan kerohanian, tetapi ia tidak mengubah pegangan rasmi pemerintah dan masyarakat terhadap Mazhab Shafi’I secara umumnya.

KITAB BAHR AL-MADHI SEBAGAI RUJUKAN FIQH SHAFI‘I DALAM SHARH AL-HADITH

Profesor Madya Dr Ishak Hj. Suliaman, Dr Faisal Haji Ahmad Shah & Dr. Khadher Ahmad

Kitab Bahr al-Madhi wajar dianggap sebagai rujukan fiqh Shafi‘i berbahasa Melayu di dalam Sharh al-Hadith yang utama di negara ini. Sehingga kini, tiada satupun karya berbahasa Melayu yang mampu menyamai Bahr al-Madhi sebagai rujukan fiqh Shafi‘i di dalam bidang ilmu Sharh al-Hadith. Di antara aspek kekuatan kitab Bahr al-Madhi sebagai rujukan utama fiqh Shafi‘i ialah metodologi fiqh al-Hadith yang digunakan oleh pengarangya iaitu Idris al-Marbawi di dalam menganalisis teks Hadith Nabawi yang telah disusun oleh Imam al-Tirmidhi di dalam kitab Sunannya. Pengarang dianggap berjaya di dalam menggunapakai metodologi fiqh al-Hadith sehingga menjadikan kitab ini sebagai kitab sharh al-Hadith dari perspektif fiqh al-Shafi‘iyah dalam Bahasa Melayu.. Bagi membuktikan hipotesis ini, maka perbincangan akan difokuskan kepada metodologi fiqh al-Hadith al-Shafi‘iyah yang diaplikasikan oleh pengarang kitab Bahr al-Madhi sebagai kitab Sharh al-Hadith. Di samping itu, kertas ini akan memperkenalkan biodata ringkas pengarang kitab Barh al-Madhi dan sorotan terhadap karya-karya utama Sharh al-Hadith yang dilihat telah mempengaruhi penulisan metodologi fiqh al-Hadith kitab ini.

TAJDID FIQH MAZHAB SYAFI’I DI MALAYSIA

Prof. Madya Dr Abdul Karim bin Haji Ali

Mazhab-mazhab fiqh telah melalui beberapa proses pembentukan, pemantapan, pengembangan, penyebaran dan juga pembaharuan. Berkait dengan mazhab Syafi’I secara umum, ia telah melalui proses-proses tersebut. Proses tajdid atau pembaharuan dalam mazhab Syafi’I dapat dilihat dari aspek bagaimana ia telah diasaskan, iaitu antara lainnya pemilihan manhaj secara cermat di antara aliran Hijaz dan aliran Iraq; antara mazhab Abu Hanifah dan Mazhab Imam Malik. Begitu juga kewujudan qaul qadim dan qaul jadid. Merujuk kepada Malaysia, dari aspek sejarahnya, Islam tersebar dan anuti oleh masyarakat melalui pengajaran mazhab Syafi’i. Ia diperkukuhkan melalui sistem pendidikan, perundangan dan lainnya. Dewasa in, ketika sesuatu isu dan persoalan hukum yang agak sukar timbul, pihak-pihak berkenaan mempunyai beberapa pilihan sama ada merujuk kepada qaul-qaul dalam mazhab Syafi’I walaupun daif; atau berpindah kepada pendapat dalam mazhab-mazhab lain yang boleh mendatangkan maslahat kepada orang ramai. Dengan lain perkataan, ia merujuk kepada persoalan talfiq, taqlid dan takhayyur. Oleh itu, kertas ini cuba membincangkan sejauhmana persoalan fiqh mazhab Syafi’I boleh berkembang dengan sihat di Malaysia tanpa perlu melompat kepada pandangan luar mazhab, iaitu dengan mengembangkannya dalam kerangka metodologi yang telah diasaskan oleh Imam al-Syafi’i.

PEMBUDAYAAN MAZHAB SYAFI’I DALAM MASYARAKAT ISLAM DI MALAYSIA

Prof. Madya Dr Idris Awang & Tengku Sarina Aini Tengku Kasim

Kertas ini cuba melihat pembudayaan Mazhab Shafie melalui pendidikan dan perundangan Islam semenjak awal kedatangan Islam di tanah semenanjung ini. Peringkat awal kertas ini menumpukan kepada pendidikan hukum-hakam Islam dalam rangkaian pendidikan sama ada secara formal atau tak formal. Kemudian dilihat pula hukum Islam pada system perundangan yang menjadi amalan. Bahagian akhir kertas ini ditumpukan kepada elemen-elemen internet, buku dan idealisme pemimpin yang boleh mempengaruhi keberterusan amalan Mazhab Shafie dalam masyarakat Malaysia.

AMALAN FATWA DI MALAYSIA: ANTARA KETERIKATAN MAZHAB DAN KEPERLUAN TARJIH

Prof. Madya Datin Dr. Noor Naemah Abd.Rahman

Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri di Malaysia telah memperuntukkan mazhab Syafi’i sebagai rujukan utama dalam amalan fatwa sejak lama.Namun demikian, beberapa anjakan perubahan telah berlaku dalam urutan rujukan fatwa.Perubahan yang berlaku dibuat untuk memenuhi keperluan masyarakat dalam kehidupan harian mereka dengan memberi keutamaan kepada kemaslahatan awam.Penelitian terhadap fatwa-fatwa yang diputuskan boleh membuktikan perubahan tersebut.Meneliti fatwa-fatwa masa kini(selepas tahun 1990an) persoalan keterikatan terhadap mazhab Syafi’i kelihatan telah tidak begitu menonjol meskipun dominasinya masih kekal. Beberapa contoh terpilih yang membuktikan hal tersebut akan dihuraikan dalam kertas ini sehingga menemukan kesimpulan bahawa amalan tarjih di antara pandangan mazhab Ahl al-Sunnah wa Al Jama’ah telah banyak mengisi amalan fatwa kini.

BERMAZHAB ATAU FANATIK MAZHAB: SATU SOROTAN DALAM MASYARAKAT MELAYU

Dr. Luqman TG Haji Abdullah & Dr. Nima Jihatea

Masyarakat Melayu Malaysia secara umumnya telah didedahkan dengan pengamalan Mazhab Shafi’i dalam kehidupan seharian mereka semenjak ratusan tahun. Amalan ini samada di atas asas taklid dan warisan turun temurun atau di atas asas ilmu yang dipelajari. Kenyataan ini dapat disokong dengan fakta-fakta di sepanjang sejarah bermula dari amalan harian, fatwa, perundangan dan kurikulum pengajian yang menunjukkan mazhab Shafi’i mendominasi masyarakat Melayu berbanding mazhab-mazhab lain. Kertas ini cuba mengkaji fenomena ini dengan berasas kepada dua premis dalam pengajian fiqh dan usul fiqh iaitu bermazhab dan fanatik mazhab. Bermazhab adalah suatu yang perlu bagi lapisan masyarakat tertentu manakala fanatik mazhab adalah suatu yang dikeji. Penentuan kedudukan masyarakat melayu antara dua keadaan ini sangat penting dalam konteks kerangka amalan yang ada di negara ini agar masyarakat tidak berada dalam situasi yang tidak selari dengan prinsip syariah.


عبقرية الإمام الشافعي في الاستدلال والتأصيل والتجديد
إعداد : د. عمار عبدالله ناصح علوان

بمناسبة ندوة الحكم الإسلامي المعاصر أسوف استعرض عبقرية علمية كبرى لها دورها في تأصيل علوم الشريعة بخاصة علم أصول الفقه فالإمام الشافعي قد جمع الله له من المواهب والمنح لم تجتمع لأئمة المذاهب الثلاثة فضلاً عن باقي الأئمة ويتلخص موضوع البحث عن إبراز العبقرية العلمية التي ميزت الشافعي عن باقي الأئمة:إن الإمام الشافعي هو مؤصل لعلم الأصول وصاحب مذهب فقهي ومدون له بخلاف سائر الأئمة.
ويتلخص البحث في عبقرية الإمام الشافعي في تأصيل علم أصول الفقه أن الشافعي –رحمه الله- حين أصل علم الأصول كان هو المؤصل لعلم الأصول لم يشاركه أحد من العلماء أو من تلامذته وتتجلى عبقرية التأصيل لدى الشافعي أن الزيادات التي أتت بعد تأصيله كانت زيادات تكميلية فهي شارحة ما أصله الشافعي وليست أصلا بذات الموضوع أو زيادات خارجة عن علم الأصول كعلم المنطق الذي أدرج إلى علم الأصول وليس علم الأصول بحاجة لها كعمل الإمام الشاطبي المتوفى في القرن السابع الذي نقى علم الأصول من علم المنطق وأوجد البديل عنه في علوم الشريعة واللغة العربية.
أما عبقرية الاستدلال فخير تمثيل لها استدلال الإمام الشافعي من القرآن على العمل بالإجماع بعد طول بحث من علماء عصره لذلك الاستدلال ..بالرغم من هذه العقلية الاستدلالية للإمام الشافعي لم يعمل الإمام الشافعي عمل ابن حزم في إنكار القياس بل أقول أن الإمام الشافعي له فضل على أصحاب الرأي في تأصيل القياس.
أما التجديد : وخير دليل أن صاحب المذهب يريد له الاستمرارية والتجديد مع الأيام أن صاحب المذهب قد جدد اجتهاده خلال مكثه بين قطرين من العالم الإسلامي وهو ما غفل عنه متأخرو المذهب.
Powered by Blogger.