Header Ads

Mengenal Fikah Imam al-Bukhari




Fikah Imam al-Bukhari oleh al-Fadil Ustaz Dr Mohd Murshidi Haji Mohd Noor (Ulama Muda Malaysia di Bidang Hadith) 





Umat Islam di Malaysia tidak perlu merasa terganggu dengan kehadiran fikah Imam al-Bukhari di negara ini. Sebenarnya fikah ini diterima baik oleh para ulama sama ada di Timur Tengah, mahupun di Nusantara. Walaupun fikah ini adalah begitu asing di kalangan masyarakat Melayu, tidak bermakna ianya tidak boleh dikaji. Ianya amat menarik untuk dikaji kerana fikah yang terhasil dari kajian yang dilakukan adalah berasaskan kepada hasil ijtihad seorang imam mujtahid yang hebat iaitu Imam al-Bukhari. Oleh yang demikian, saya selaku pengkaji kepada fikah Imam al-Bukhari, rasa bertanggungjawab untuk mendedahkan fikah beliau kepada umum. Semoga bermanfaat dan kita dapat mengamalkan fikah dalam kehidupan seharian kita dengan penuh bijaksana dan bermanhaj.



Fikah Imam al-Bukhari


Imam al-Bukhari adalah seorang imam di dalam agama. Dalam periwayatan hadith, beliau akan memilih hadith yang paling sahih kedudukannya. Hal ini diakui sendiri oleh para ulama di mana mereka meletakkan kedudukan Sahih al-Bukhari pada kedudukan teratas berbanding karya-karya hadith lain.

Walaupun Imam al-Bukhari terkenal sebagai ahli hadith di kalangan masyarakat Melayu, sebenarnya beliau juga adalah seorang yang begitu fakih terhadap dalil-dalil yang digunakannya. Sekiranya diperhatikan kepada karya Sahih al-Bukhari yang dilakukannya, maka fikah yang terhasil dari karya tersebut berasaskan kepada usul dan manhaj yang dipegang oleh Imam al-Bukhari. Karya yang dikarang itu bukan semata-mata pengumpulan terhadap hadith sahaja, malahan mengandungi metode yang cukup kemas untuk dipersembahkan kepada para pembaca. Oleh yang demikian, terdapat usul fikah Imam al-Bukhari yang terkandung menerusi karya sahihnya.

Mengetahui usul Imam al-Bukhari dalam fikah serta manhaj yang dilaluinya, sama ada usul tersebut berbeza atau bersamaan dengan imam-imam yang lain, maka amat penting untuk diketahui. Hal ini dapat membantu seseorang itu mengetahui sejauh mana perbezaan antara usul mazhab imam yang terkenal seperti empat mazhab dengan usul madrasah fuqahak di kalangan ahli hadith. Tambahan pula, Imam al-Bukhari adalah seorang imam di kalangan fuqahak ahli hadith.

Selain itu sekiranya diteliti, banyak juga usul Imam al-Bukhari yang bersamaan dengan usul madrasah ahl al-ra'y, mengisyaratkan bahawa khilaf yang besar berlaku antara madrasah ahli hadith dan ahli al-ra'y, sebenarnya bukan dari dari sudut manhaj, tetapi dari sudut pengaplikasian terhadap manhaj dan usul dalam membincangkan mengenai permasalahan fikah. Khilaf dalam permasalahan furu` di kalangan ulama, dan dalam masa yang sama usul dan manhaj mereka adalah sama, banyak kembali kepada faktor banyak atau sedikit dalil yang digunakan, atau pemahaman yang berbeza terhadap dalil-dalil. Inilah punca berlaku perbezaan pandangan antara dua madrasah penting ini. Guru penulis iaitu Prof Madya Dr Abdul Aziz Hanafi pernah menyebutkan bahawa peratusan khilaf yang berlaku di kalangan ulama adalah sedikit sahaja, berbanding persepakatan yang wujud di kalangan mereka. Hal ini dirujuk kepada kesamaan manhaj yang digunakan oleh mereka.

Pengkajian mengenai fikah Imam al-Bukhari menatijahkan bahawa kesesuaian manhaj dalam berijithad di kalangan ulama adalah begitu besar sekali. Hal ini juga menunjukkan bahawa metode ijtihad antara fuqahak dan ahli hadith adalah sama sahaja. Golongan yang mengatakan berlaku perbezaan yang besar dari sudut manhaj ijtihad antara ahli hadith dan ahli fikah adalah tidak benar sama sekali. Manhaj ijtihad mereka adalah sama sahaja.

Pengkajian terhadap fikah Imam al-Bukhari juga menunjukkan bahawa cara berinteraksi dengan sumber-sumber primer syariat Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah, mestilah berdasarkan kepada disiplin ilmu yang dibincangkan oleh para ulama dalam Usul Fiqh. Oleh yang demikian, bagi mereka yang meminati fikah Ahli Hadith, mereka perlu mengetahui perkara asas dalam ilmu Usul Fiqh agar pemahaman mereka terhadap al-Quran dan Hadith adalah tidak lari jauh daripada disiplin ilmu yang dituruti sendiri oleh para fuqahak di kalangan ahli hadith dalam mengistinbatkan hukum-hakam.  

Mazhab Imam al-Bukhari

Imam al-Bukhari dinisbahkan oleh kebanyakan ulama sebagai beraliran madrasah Ahli Hadith. Namun begitu, terdapat ramai juga di kalangan pengkaji mengatakan bahawa Imam al-Bukhari memiliki mazhabnya yang tersendiri yang berlainan daripada madrasah Ahli Hadith. Setakat penelitian penulis terhadap kajian-kajian lepas mengenai fikah Imam al-Bukhari, didapati bahawa pandangan yang rajih ialah Imam al-Bukhari memiliki mazhabnya yang tersendiri yang berlainan daripada mazhab-mazhab yang lain. Hal ini merujuk kepada kemampuan beliau yang tinggi untuk mengistinbatkan hukum-hakam daripada al-Quran dan Hadith secara terus. 

Mazhab Imam al-Bukhari tidak tersebar bukan bermakna orang tidak mahu mengikuti mazhabnya tetapi disebabkan beberapa faktor yang munasabah seperti tiada murid yang berusaha menukil pandangan dan fikahnya, sedangkan para murid adalah sangat penting dalam menyebarkan mazhab seseorang guru. Nasib mazhab Imam al-Bukhari adalah sama sahaja dengan mazhab fikah imam lain yang tidak berkembang seperti mazhab Abu al-Layth bin Sa`d, al-Awza`i dan sebagainya. Tidak berkembang mazhab mereka tidak bermakna mereka berijtihad dengan cara yang salah, tetapi disebabkan beberapa faktor yang antaranya telah disebutkan di atas.

Walaupun mazhab Bukhari tidak tersebar di kalangan masyarakat, namun karya sahihnya ditelaah oleh para ulama. Mereka juga berdalil dengan hadith-hadith yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari. Para fuqahak dalam mazhab tertentu yang pada hari ini turut menguatkan hujah mereka dengan menggunakan hadith Sahih al-Bukhari. Hal ini menggambarkan bahawa seseorang fakih, apabila berhujah dengan hadith yang terdapat di dalam Sahih al-Bukhari, maka akan memberi ketenangan kepada jiwanya untuk mengeluarkan sesuatu hukum. Ini bermakna, Sahih al-Bukhari yang dihasilkan oleh Imam al-Bukhari memberi kesan yang cukup mendalam terhadap umat Islam dalam membincangkan hal yang berkaitan dengan hukum-hakam.

Ciri-ciri Manhaj Ijtihad Imam al-Bukhari

1] Mengikat hukum dengan dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah, menyokong hukum yang diijtihadkan dengan mengemukakan kata-kata imam yang memberikan pandangan terhadap permasalahan yang dikemukakan yang terdiri daripada kalangan sahabat dan orang selepas sahabat. Ciri pertama ini menggambarkan bahawa fikah Imam al-Bukhari kaya dengan dalil. Hukum-hakam agama yag dikeluarkan oleh beliau bukan sekadar pandangan kosong, malahan disertai dengan dalil-dalil.

2] Mendahulukan al-Quran daripada al-Sunnah dalam berdalil, walaupun beliau adalah di kalangan ahli hadith. Hal ini bermakna bahawa beliau akan mendapatkan ayat-ayat al-Quran terlebih dahulu sebelum pergi kepada hadith Nabi SAW.  

3] Beliau seorang yang alim dalam ilmu rijal. Oleh yang demikian, fikah beliau adalah berasaskan kepada sanad-sanad hadith sahih di sisi beliau. 

4] Meneliti aliran-aliran fikah yang telah wujud pada zaman sebelumnya. 

5] Biasanya beliau tidak membezakan antara sunat dan fardu, makruh dan haram kerana kedua-dua perkara itu perlu dilakukan atau ditinggalkan. Kalau sunat sekalipun maka elok untuk dilakukan, dan kalau makruh pula elok ditinggalkan. Oleh itu beliau mengambil sikap mendidik jiwa agar menjunjung tinggi perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. 

6] Mengistinbatkan hukum-hakam tanpa menerangkan kaedah-kaedah yang digunakannya. Hal ini biasa dilakukan oleh para mujtahid mutaqaddimin.


Wallahua`lam. Semoga kita lebih mengenali fikah ahli hadith dengan lebih mendalam serta mengikuti jejak langkah mereka. 
Powered by Blogger.